Barang Rampasan Terbesar Dalam Sejarah Malaysia
Barangan tu termasuklah rantai berlian, tiara dan beg tangan berjenama yang disita dalam siasatan berkaitan 1MDB seperti yang diumumkan pada Rabu lalu. Alamak, habislah beg Birkin Kak Mah nanti!
Polis sebelum ini mengesahkan bahawa 12,000 keping barang kemas, 567 beg tangan, 423 jam dan 234 cermin mata telah dirampas bulan lalu daripada hartanah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib tu. 2,200 cincin, 1,400 rantai, 14 tiara dan ribuan gelang, anting-anting serta brooch turut dirampas.
Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh telah membuat satu sidang media mengesahkan bahawa nilai rampasan yang dibuat di kesemua kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencecah hampir RM1.1 bilion.
Menurut The Star, kerajaan akan berusaha untuk menukarkan barangan yang dirampas dari beberapa premis itu kepada wang tunai. Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu bahawa pihak kerajaan akan menjual sebahagian besar barang kemas dan barangan mewah terbabit.
Lim Guan Eng menjelaskan kepada agensi berita The Associated Press dalam satu temubual bahawa barang rampasan tersebut akan cuba dimanfaatkan sebaik mungkin. Dia juga mengingatkan semua akan tanggungan hutang tersebut perlu ditanggung hingga ke zaman anak cucu kita nanti.
“Saya fikir kita akan cuba memanfaatkannya melalui penukaran tunai, di mana sahaja kita boleh, tetapi ingat walaupun ianya berjumlah RM1 bilion, namun ia tidak mampu menyelesaikan penggelapan wang yang diambil dari hasil negara, melalui 1MDB yang dianggarkan sebanyak RM50 bilion.”
“Bukan kita sahaja yang akan menanggung semua itu sebaliknya anak-anak kita perlu membayarnya sehingga 2039.”
Menurut Lim Guan Eng lagi, nilai rampasan tersebut hanyalah diibaratkan seperti setitis air di lautan sahaja jika nak dibandingkan dengan jumlah RM50 bilion atau USD12.4 bilion yang dipercayai telah dicuri daripada dana pelaburan negara 1MDB.