Ramai yang tanya saya kenapa durian yang di tanam dalam polybag tiba-tiba layu dan mati selepas beberapa hari.
Siapa yang tak kecewa kan kalau bibit durian yang kita beli ratusan ringgit menjadi kering dan daunnya berguguran.
Sebab itu ilmu menanam durian sangat penting supaya pelaburan yang kita buat tidak mengalami kerugian yang besar.
5 Sebab Durian Mati Selepas Tanam Dalam Polybag& Cara atasinya
1. Tanah yang tidak sesuai.
Saya selalu menasihat pelanggan saya supaya JANGAN gunakan tanah hitam / topsoil 100% apabila menanam durian.
tanah hitam/topsoil |
Ini kerana durian TIDAK sesuai pada tanah yang lembap, ia banyak bakteria yang boleh menyebabkan batang dan akar mereput, lalu pokok mati perlahan-lahan.
Oleh itu, campuran tanah haruslah seimbang. Contohnya saya selalu gunakan tanah kuning 70%, 20% tanah hitam dan selebihnya serkam padi bakar atau sabut kelapa/cocopeat.
Saya perhatikan ada nursery pokok yang menggunakan tanah kuning 100%. Kelebihannya adalah air yang bertakung selepas hujan cepat mengalir keluar. Kelemahannya tanah dalam polybag cepat kering dan perlu siram dengan kerap.
2. Tidak menggunakan net hitam
Cahaya matahari yang berlebihan boleh menyebabkan anak pokok kering kerana tidak menggunakan net hitam.
Saya menggunakan net hitam pertanian saiz lubang 50% untuk bibit yang sudah matang, makala untuk bibit durian yang baru disemai perlu menggunakan net 70% atau 90% untuk mengelak mati dari cahaya matahari yang berlebihan.
Harga segulung net hitam di kedai kimia atau hardware lebih kurang RM70-90 mengikut saiz. Biasanya satu gulung bersaiz 1 atau 2 meter dan panjang 30 meter.
3. Baja Yang Berlebihan
Baja yang berlebihan juga boleh menyebabkan daun pokok durian menjadi kering di hujung, jika tidak mengganti tanah, boleh menyebabkan pokok mati.
Sebaiknya kurangkan penggunaan baja untuk pokok durian yang masih dalam polybag bagi mengelakkan banyak pokok mati.
Saya menggunakan baja Vermicompost yang dihasilkan oleh cacing afrika, kelebihannya adalah ia tidak panas walaupun terlebih baja.
Cuba elakkan penggunaan baja kimia yang berlebihan kerana ia boleh menyebabkan banyak kesan buruk pada hasil tuaian, tanah serta alam sekitar.
4. Racun Yang Berlebihan
Penggunaan racun serangga yang berlebihan juga boleh menyebabkan pokok durian mati. Sebaiknya gunakan rumah hijau untuk elak seranggan serangga, elakkan penggunaan racun kulat/ serangga yang berlebihan, harus ikut dos yang betul.
Saya menggunakan cuka kayu semulajadi (Wood Vinegar) untuk mengelakkan seranggan kulat dan serangga serta menguatkan antibodi pokok. Yang penting organik!
5. Tanah kering kerana tidak di siram
Tahukah anda bibit durian yang menggunakan tanah kuning 100% biasanya cepat kering. Pokok durian sebegini perlu disiram setiap hari, kalau tak pokok mati dan anda kena tanggung sendiri kerugian. Jangan salahkan penjual.
Cara nak tahu sama ada tanah kering atau tidak, tekan polybag, kalau keras, tanah dah kering. Tolong jangan lupa siram. Elakkan meletak pokok di tempat yang panas dan terbuka tanpa net hitam.
Semoga bermanfaat.
Penulis: Donny Ien - penjual bibit musang king Sabah (Trusted seller)