Mohd disayangi anak-anaknya sehingga masing-masing langsung tidak mahu berenggang dengannya. |
PASIR GUDANG - �Terima kasih ayah kerana jaga kami empat beradik dan maafkan salah silap yang kami buat pada ayah,� kata kanak-kanak berusia 11 tahun ini.
Anak kedua kepada Mohd, 49, (bukan nama sebenar) itu berkata, dia kini hanya mempunyai ayah selepas ibunya menghilangkan diri sejak lebih empat tahun lalu.
�Kami cuma ada ayah dan kami hanya sayang ayah kerana mama dah tinggalkan kami. Kami tak nak jumpa mama kerana dia sampai hati tinggalkan kami bersama ayah yang sedang sakit,� katanya.
Sementara itu, Mohd berkata, dia reda dengan takdir yang tersurat dan perlu membesarkan empat anak berusia 12, 11, 10 serta 6 tahun tanpa isteri di sisi, walaupun tahap kesihatannya tidak mengizinkan.
Menurutnya, dia tidak tahu apa dosa anak-anaknya sehingga isterinya bukan sahaja tergamak meninggalkan mereka, malah langsung tidak datang menjenguk sejak meninggalkan mereka lebih empat tahun lalu.
�Sudah empat kali hari raya anak-anak beraya tanpa mama mereka, malah anak bongsu yang ditinggalkan ketika itu masih menyusu botol langsung tak kenal mamanya.
�Saya pernah merajuk bawa beg pakaian nak tinggalkan mereka kerana masing-masing bergaduh tak dengar cakap, tapi reaksi mereka buat saya sebak apabila semuanya datang memeluk erat saya,� katanya sebak.
Mohd berkata, dia berdepan masalah untuk mendapatkan sijil lahir buat tiga anaknya, sekali gus menyebabkan mereka tidak berpeluang bersekolah.
�Setiap hari anak-anak merengek minta ke sekolah kerana lihat abang dan rakan lain beruniform sekolah. Saya tak mampu buat apa-apa kerana telah berusaha untuk dapatkan sijil lahir mereka, namun permohonan ditolak dengan alasan perlu kehadiran isteri.
�Anak sulung seorang saja yang bersekolah kerana dia mempunyai sijil lahir yang diproses ketika mamanya masih ada,� katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya ketika dihubungi Sinar Harian berkata, bapa kanak-kanak terbabit diminta ke JPN berhampiran untuk mengenal pasti masalah sebenar permohonannya ditolak.
�Sekiranya dokumen lengkap, pendaftaran kelahiran anak-anak berkenaan sudah boleh diproses walaupun tanpa kehadiran ibu, kecuali ada masalah lain,� katanya.