�Mo Salah! Oh Mane Mane!�
Pemain kesayangan seluruh peminat Liverpool ketika ini sekali lagi menjadi wira buat The Reds apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membolehkan pelawat membawa pulang tiga mata berharga menentang Crystal Palace.
Pelawat mempamer aksi longgar ketika berkunjung ke Selhurst Park, dan kecuaian demi kecuaian akhirnya dihukum Luka Milivojevic yang menyempurnakan sepakan penalti seawal minit ke-12 selepas penjaga gol, Loris Karius dilayangkan kad kuning kerana mengasari Wilfried Zaha.
Walaupun sudah dibolosi, penghuni tangga ketiga Liga Perdana Inggeris itu masih gagal memperkemas rentak biarpun menguasai permainan dan beberapa kali hampir dilukai lagi oleh Zaha dan Christian Benteke, mujur bekas penyerang mereka itu gagal menemui penyudah sempurnanya.
Sadio Mane menyamakan kedudukan empat minit selepas babak kedua bermula, barulah barisan anak buah Jurgen Klopp mengatur gerakan yang lebih mengancam benteng pertahanan lawan.
Ketika perlawanan kelihatan akan berakhir dengan kedua-dua pasukan berkongsi mata, larian dan hantaran Alex Oxlade-Chamberlain membuka ruang untuk Andrew Robertson bijak menampan rendah hantaran itu ke tengah kotak penalti, dan Salah tenang menolak bola melepasi kawalan penjaga gol Palace, Wayne Hennessey pada minit ke-84.
Ia merupakan gol ke-37 Raja Mesir itu untuk musim ini setakat ini, dengan hanya dua pemain Liverpool menjaringkan lebih gol dari itu dalam satu musim � Ian Rush dan Roger Hunt.
Pada masa sama, Salah juga menyamai rekod Didier Drogba sebagai pemain Afrika paling banyak jaringan dalam satu musim Liga Perdana dengan 29 gol.
Tidak cukup dengan itu, dia juga telah menemui jaring dalam 21 perlawanan Liga Perdana musim ini, hanya Cristiano Ronaldo dan Robin van Persie yang pernah melakukannya sebelum ini, menjadikannya pemain ketiga selepas mereka yang berbuat demikian sejak 1992 � dan sekarang baru bulan Mac dan ada baki enam perlawanan liga lagi, jangan dilupa saingan Liga Juara-Juara yang masih bernyala.
Adakah mungkin Salah terhenti setakat ini, atau dia akan terus mengganas dan melakar sejarah sebagai pemain terbaik yang pernah beraksi bersama Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris?
Dan baru-baru ini dalam pilihan raya presiden Mesir, didapati kira-kira satu juta undi rosak kerana pemilih memangkah nama calon lain pada kertas undi, dan menulis Mohamad Salah sebagai pilihan mereka sebagai presiden baharu!