Pilunya hati, 17 ekor kucing peliharaan mati akibat diracun

KUANTAN: Seorang pencinta kucing terkilan selepas 17 kucing peliharaannya mati dipercayai diracun selepas mengerumuni sisa kepala ayam di rumahnya di Lorong Seri Mahkota di sini.

Kejadian berlaku Selasa lalu apabila, Muhammad Nor Fiqry Zahari, 38, atau lebih dikenali sebagai Babah Conan pulang ke rumahnya dan melihat kira-kira sembilan ekor kucing sedang mengerumuni sesuatu.

Menurut bapa kepada seorang anak ini, ketika kejadian, dia tiada di rumah dan kesemua pintu serta pagar berkunci manakala kira-kira 60 ekor kucing yang dibela berada di dalam rumah.
"Apabila saya lihat, ada kepala ayam tetapi saya tidak pernah bagi makan kucing kepala ayam. Saya ambil kepala ayam itu dan lihat ada cecair seperti bahan kimia.

"Kucing saya tidak makan kepala ayam, mungkin mereka menjilat cecair daripada kepala ayam berkenaan sehingga menyebabkan mereka keracunan dan mati," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Muhammad Nor Fiqry memeriksa kucingnya di rumahnya di Lorong Seri Mahkota, Kuantan. - Astro AWANI
Muhammad Nor Fiqry memeriksa kucingnya di rumahnya di Lorong Seri Mahkota, Kuantan. - Astro AWANI


Katanya lagi, dia kemudian bergegas membuang kepala ayam berkenaan sebelum memberi kucingnya minum air kelapa dan membasuh mulut haiwan berkenaan.

"Selepas itu, beberapa kucing mula nampak seperti keletihan dan tidak bermaya serta tidak mahu makan, saya tidak syak apa-apa lagi.

"Pagi semalam, kucing saya mula mati bermula dengan lima ekor, sebelum beberapa ekor lagi mati sehingga ke pagi ini menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 17 ekor," katanya.

Katanya, dia amat kecewa dengan individu yang sanggup buat perkara sebegini kepada kucing yang dianggap seperti anak sendiri.

"Tak tahu nak gambarkan perasaan ketika ini dan apa yang saya boleh katakan, semoga perbuatan ini mendapat pembalasan sewajarnya," katanya.
Artikel Selanjutnya Artikel Sebelumnya
Belum Ada Komentar :
Tambahkan Komentar
Comment url
Post Terkait :
Viral Trending Malaysia