KUALA LUMPUR: Selepas tular kisah 'ayam rendang perlu rangup' berikutan peserta MasterChef UK dari Malaysia, Zaleha Kadir Olpin yang disingkir kerana ayam rendangnya tidak rangup dan garing, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell bertindak 'sekolahkan' juri-juri pertandangan masakan popular itu.
Treadell menerusi Twitternya pada Selasa menjelaskan rendang "tidak pernah rangup" dan mungkin telah dikelirukan dengan ayam goreng.
"Rendang adalah hidangan ikonik Malaysia dan tidak seharusnya dikelirukan dengan Indonesia."
Tweet itu ditujukan kepada kedua juri itu, Gregg Wallace dan John Torode, apabila Treadell juga tag kedua akaun Twitter mereka pada status berkenaan.
Tweet berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata merasakan bahawa Treadell adalah individu yang paling sesuai memberi perjelasan terbabit kerana beliau merupakan warga Britain yang dilahirkan dan menetap di Malaysia.
SEBUAH portal gaya hidup hari ini memaparkan kisah tukang masak Zaleha Kadir Olpin yang tersingkir daripada pertandingan MasterChef UK kerana ayam rendangnya tidak rangup dan garing.
Gara-gara laporan itu, akaun YouTube MasterChef diserbu ramai netizen dari Malaysia yang meninggalkan komen dan berpendapat penyingkiran Zaleha itu tidak adil.
Dalam episod yang disiarkan saluran BBC pada 25 Mac itu, Zaleha memilih juadah nasi lemak bersama rendang ayam untuk dimasak, yang disifatkan sebagai juadah yang sangat istimewa.
"Saya masih ingat, ketika kecil, saya selalu membeli nasi lemak di sebuah gerai yang berharga 20 sen, tetapi itulah nasi lemak yang paling sedap di dunia!
Bagaimanapun, Zaleha tersingkir apabila ayam rendang yang dimasaknya dinilai sebagai tidak rangup oleh juri.
"Ayam tidak rangup, ia tidak boleh dimakan," kata salah seorang juri, Gregg Wallace.
Rakyat Malaysia memenuhi ruangan komen akaun YouTube MasterChef UK, dengan mempersoalkan kredibiliti juri yang dipilih.
"Apa kriteria untuk menjadi juri? Anda tidak layak jika tidak tahu menghormati cara masakan bangsa lain," kata Nurul Hamzah.
"Jika anda datang Malaysia dan beritahu mak cik-mak cik di sini ayam rendang perlu rangup, anda pasti akan kena tampar," kata seorang lagi netizen dengan nama pengguna DL.
Menurut laporan The New Straits Times, Zaleha, 48 tahun, yang berasal dari Kuantan, Pahang kini menetap di Bristol, UK bersama suami dan dua anak perempuan mereka.