Bagi anda yang baru berjinak-jinak dalam dunia pertanian secara komersial, antara perkara yang perlu dikenal pasti sebelum menanam sesuatu jenis tanaman adalah jarak pokok yang sesuai. Jika tanam untuk suka-suka, terpulanglah berapa jarak tanaman yang korang suka.
Ada dua sebab kenapa pentingnya jarak yang sesuai untuk tanaman.
1. Memudahkan pengurusan tanaman, senang nak memungut hasil
2. Memberi ruang minimal yang cukup bagi setiap pokok tumbuh dan mengeluarkan hasil yang baik dan berkualiti.
1. Pengurusan tanaman
Jarak antara pokok, batas atau sesuatu blok tertentu atas tujuan kesesuaian pengurusan kebun atau ladang tersebut. Sebagai contoh bagi ladang komersil yang besar memerlukan laluan mesin pembajak atau lori bagi memudahkan urusan seliaan ladang (seperti memotong rumput, membaja dan meracun) dan pungutan hasil. Perkara ini amat penting bagi memastikan pengurusan kebun atau ladang dapat dijalankan dengan lebih efisyen dan sistematik.
2. Pertumbuhan dan pengeluaran hasil
Setiap pokok memerlukan tiga unsur terpenting yang disebut ABC iaitu Air, Baja dan Cahaya.
Jadi tanpa jarak yang sesuai dengan saiz dan keperluan fisiologi tanaman tersebut, persaingan untuk mendapatkan tiga komponen tersebut semakin tinggi. Persaingan ini akan menjadi faktor yang menghadkan kepada pertumbuhan dan hasil pulangan tanaman. Selain itu juga, ruang pertumbuhan pokok dan sebaran akar juga akan menjadi terhad.
Kesan jarak tanaman yang terlalu dekat
Dalam pengurusan pertanian moden, persaingan bagi mendapatkan air dan nutrien (baja) yang cukup dapat dikurangkan dengan pengurusan yang baik namun persaingan untuk mendapatkan cahaya matahari tetap menjadi masalah.
Pada tanaman koko matang (5 tahun keatas) contohnya, walaupun lindungan cahaya masih diperlukan namun lindungan hanya diperlukan pada tahap sekitar 25-30% sahaja. Kadar lindungan yang tinggi akan menyebabkan hasil menjadi rendah.
Berikut adalah antara kesan kekurangan cahaya akibat jarak tanaman yang terlalu hampir:
1. Pokok lemah
Cahaya diperlukan dalam proses metabolisma asas tumbuhan iaitu fotosintesis bagi menghasilkan makanan untuk tenaga. Pokok yang tidak memperolehi cahaya yang cukup akan menjadi lemah, kelihatan bewarna hijau muda pucat dan mempunyai jarak internod yang lebih panjang.
2. Lambat berhasil
Akibat daripada agihan unsur karbon yang lebih tertumpu kepada pembentukan pucuk bagi mendapatkan cahaya, peringkat vegetatif akan berlanjutan lebih lama.
Three. Pokok cepat tinggi
Disebabkan jarak internod yang lebih tinggi dan tumpuan kepada mendapatkan cahaya, batang pokok menjadi lebih tinggi dari kebiasaan.
Four. Kanopi lebih kecil
Kanopi akan menjadi lebih kecil akibat ruang yang terhad dan kelihatan lebih menegak. Pada pokok kelapa pelepah tidak terbuka dan kelihatan menegak (erected).
5. Mudah diserang penyakit
Lebih karbon digunakan untuk menghasilkan pucuk baru bagi mendapatkan cahaya, dalam keadaan pokok yang sedia lemah pokok lebih mudah diserang oleh penyakit menurut beberapa kajian.
6. Hasil rendah dan kecil
Bilangan buah terhasil berkurangan, kecil dan berkualiti rendah kerana kekurangan karbohidrat dan pennggunaan unsur karbon yang tidak efisyen.
Oleh sebab itu adalah penting bagi pengusaha dan pekebun untuk memastikan tanaman mendapat ruang yang cukup supaya tanaman dapat memberikan hasil yang diharapkan.
Semoga bermanfaat.